Sijil Perbankan, Kewangan Islam KUIS Diikiraf

DALAM mengukuhkan pencapaian Malaysia sebagai peneraju pembangunan bakat dalam kewangan Islam, Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) menawarkan kursus Sijil Syariah Perbankan dan Kewangan.

Ia dibuat menerusi Pusat Penyelidikan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam (IRCIEF) yang merupakan pusat penyelidikan antarabangsa di KUIS yang memfokuskan kepada bidang ekonomi dan kewangan Islam.

Salah satu hasil kajian IRCIEF ialah model Sadaqa House diangkat sebagai salah satu perkhidmatan perbankan Bank Islam Malaysia Berhad pada 2018, yang mana orang awam boleh menderma kepada projek pembiayaan sosial yang dikenal pasti.

Kursus jangka pendek itu dijalankan selama dua bulan dengan tenaga pengajar terdiri daripada pakar-pakar industri kewangan dan perbankan di negara ini.

Sehingga kini, empat kohort telah dilaksanakan dengan penyertaan lebih 100 orang terdiri daripada pensyarah, golongan profesional, pelajar, jurutera dan konsultan dari Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura.

Menurut Ketua Eksekutif KUIS, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Farid Ravi Abdullah, kewangan Islam berada pada kedudukan yang amat baik dalam menyediakan penyelesaian yang berasaskan nilai.

Ini katanya, memandangkan nilai intrinsik maqasid syariah yang bertujuan untuk mencapai kebaikan dalam usaha mengelakkan sebarang kerosakan pada sistem itu sendiri.

Ujarnya, kewangan Islam mempunyai peluang besar untuk mempromosikan kelestarian penyelesaian bagi pemulihan ketika pasca-pandemik pada masa sekarang.

“Ini dilakukan dengan meletakkan nilai dan kemampanan pertimbangan sebagai asas di tengah-tengah pelan pemulihan ekonomi menerusi penyerapan idea-idea yang lebih bernas ke dalam konteks kewangan pada masa kini

“Dalam hal ini, anjakan agresif dalam pemikiran berasaskan nilai sebagai asas untuk semua keputusan perniagaan dan komersial mungkin boleh berlaku.

“Ia sekali gus menggalakkan penggabungan nilai syariah ke dalam produk kewangan dengan teratur dalam menghasilkan keputusan yang lebih memberangsangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Graduasi Sijil Syariah Perbankan dan Kewangan (CFBF) yang kedua di KUIS, Bandar Seri Putra, Kajang, Selangor baru-baru ini.

Kata Dr. Mohd. Farid Ravi, beliau berbangga atas kejayaan penyempurnaan kursus singkat tersebut.

Pada majlis itu, seorang pelajar bukan Islam iaitu juruaudit di Syarikat Takaful Malaysia Berhad, Padma Priya Venu Gopal, 44, turut menerima anugerah Anugerah IRCIEF atas kejayaan menyempurnakan 11 modul dalam Sijil Syariah Perbankan dan Kewangan Islam.

Ia diakreditasi oleh Agensi Kelayakan Kewangan atau Finance Accreditation Agency (FAA) iaitu sebuah badan akreditasi diiktiraf oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Sijil perbankan, kewangan Islam KUIS diiktiraf – Kosmo Digital

Leave A Reply