Juruaudit Terima Anugerah IRCIEF

HomeNewsJuruaudit Terima Anugerah IRCIEF

Kuala Lumpur: Juruaudit di Syarikat Takaful Malaysia Berhad, Padma Priya Venu Gopal, 44, berbangga menerima Anugerah IRCIEF pada Majlis Penganugerahan Kedua CFBF; Sijil Syariah Perbankan dan Kewangan yang ditawarkan oleh Pusat Penyelidikan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam (IRCIEF), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

Anugerah itu diberikan atas kejayaan Padma Priya menyempurnakan 11 modul dalam Sijil Syariah Perbankan dan Kewangan Islam yang diakreditasi oleh Finance Accreditation Agency (FAA), badan akreditasi yang diiktiraf oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Koordinator Hubungan Industri IRCIEF, Ahmad Yani Ismail berkata, penawaran kursus ini adalah komitmen KUIS sebagai sokongan terhadap usaha kerajaan dalam pembangunan kapasiti dan Rangka Tindakan Kewangan (Financial Blueprint) 2022–2026 terutama dalam mengukuhkan lagi pencapaian Malaysia sebagai peneraju pembangunan bakat dalam Kewangan Islam di dunia.

“Melalui Sijil Syariah Perbankan dan Kewangan Islam ini, peserta didedahkan kepada ilmu asas syariah yang diaplikasikan dalam institusi perbankan dan kewangan Islam.

“Kursus jangka masa pendek ini dijalankan selama dua bulan dengan tenaga pengajar yang terdiri daripada pakar industri kewangan dan perbankan. Sehingga kini, empat kohort sudah dilaksanakan dengan penyertaan melebihi 100 orang yang terdiri daripada pensyarah, profesional, pelajar, jurutera dan konsultan dari Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura,” katanya.

Sementara itu, Rektor KUIS, Prof Madya Datuk Dr Mohd Farid Ravi Abdullah yakin IRCIEF mampu menjadi peneraju profesional dalam penawaran kursus jangka masa pendek dalam Pperbankan dan kewangan Islam.

“Menjadi tanggungjawab kita bersama untuk mempromosikan pelaksanaan etika perniagaan dalam kewangan Islam yang bermanfaat kepada masyarakat dan persekitaran, sebagaimana yang diperintahkan Allah SWT.

“IRCIEF adalah pusat penyelidikan antarabangsa di KUIS yang memfokus kepada bidang Ekonomi dan Kewangan Islam. Saya yakin IRCIEF akan menjadi peneraju profesional dalam penawaran kursus jangka masa pendek dalam perbankan dan kewangan Islam, apatah lagi dengan sokongan dan jalinan industri yang baik dengan badan profesional yang diiktiraf peranannya,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 35 peserta menerima Sijil Syariah Perbankan dan Kewangan Islam yang disampaikan oleh Ahli Lembaga Pengarah KUIS, Datuk Setia Salehuddin Saidin.

Selain Anugerah IRCIEF, enam peserta lain turut menerima Hadiah Peserta Terbaik yang dipilih dari dua kohort kursus yang sudah dilaksanakan pada tahun 2021.

Juruaudit terima Anugerah IRCIEF (hmetro.com.my)

Share :