2014 : BAITUL SADAQAH, A New Financial Instrument for the Development of the Ummah

HomeNews2014 : BAITUL SADAQAH, A New Financial Instrument for the Development of the Ummah

BERITA HARIAN: Isnin, 20 Oktober 2014
shahrizan_salian@bh.com.my

KAJANG: Sebuah pusat pengumpulan sedekah, wakaf dan hibah dikenali Baitul Sadaqah sedang dalam rumusan untuk penubuhan oleh sebuah badan pemikir di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

Mengikut Pusat Penyelidikan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam (IRCIEF), Baitul Sadaqah yang beroperasi di bawah rangka kerja perbankan Islam, mengumpulkan dana berkenaan untuk diagihkan kepada golongan miskin dan memerlukan.

Cadangan mengenai Baitul Sadaqah dibincangkan dalam bengkel Keperluan Kajian untuk Instrumen Sadaqah anjuran IRCIEF di sini hari ini.

Bagi pemenang Anugerah Diraja Kewangan Islam 2014, Datuk Dr Abdul Halim Ismail, yang menyampaikan ucaptama pada bengkel itu, Baitul Sadaqah boleh ditubuhkan sebuah syarikat kewangan utama atau anak syarikatnya.

“Antara keperluannya ialah Baitul Sadaqah dimiliki dan dikawal sebuah kumpulan perbankan atau sebarang pertubuhan lain yang mempunyai lesen (perbankan).

“Sama seperti syarikat takaful, Baitul Sadaqah akan menjadi institusi kewangan yang beroperasi dalam sistem perbankan Islam dan pasaran modal patuh Syariah. Justeru, kawal selia Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) adalah wajar,” katanya.

Bengkel sehari itu adalah sebahagian inisiatif IRCIEF kerana Baitul Sadaqah adalah satu idea yang baharu di negara ini. Ia dihadiri beberapa pakar industri dan ahli akademik.

Mengikut cadangan, Baitul Sadaqah boleh menerima sekurang-kurangnya RM10 daripada orang ramai pada bila-bila masa menggunakan kaedah deposit, pemindahan bank atau potongan gaji.

Mekanisme Baitul Sadaqah ialah menjadikan jumlah prinsipal sedekah yang diterima sebagai modal untuk disimpan dan dilabur secara berhemah untuk menjana keuntungan, yang kemudiannya akan diagihkan kepada golongan memerlukan.

Pelaburannya dicadangkan dihadkan di dalam instrumen kewangan Islam dalam institusi perbankan serta kewangan seperti deposit, akaun pelaburan, sukuk dan pelbagai produk pengurusan pelaburan lain.

Model pelaksanaannya menggunakan contoh kejayaan Lembaga Tabung Haji (TH) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) menguruskan deposit pelabur sejak ditubuhkan beberapa dekad lalu.

Share :